ASWARA
Dance Company mempunyai 21 orang ahli dan pengarah artistiknya Dr. Joseph
Gonzales menubuhkan syarikat ini apabila menerima suntikan dana daripada
Yayasan Sime Darby pada tahun 2011. Projek utama ASWARA Dance Company ialah
Connecting Communities National Dance Tour dimana akan mengadakan bengkel dan
persembahan percuma di negeri-negeri semenanjung Semenanjung Malaysia termasuk
Sabah. Selain memartabatkan kesenian tradisional Malaysia, projek ini juga ingin
memberi peluang dan pendedahan kepada bakat-bakat yang terdapat di dalam negara
justeru meningkatkan lagi martabat kesenian tempatan secara nasional juga
global. ASWARA Dance Company turut mengadakan
produksi dalam dan luar negara seperti di dalam Panggung Eksperimen Akademi
Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Damansara PAC, Penang PAC, Dewan
Filharmonik Petronas, dan Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Korea,
Jepun apabila mendapat jemputan untuk festival tari. Take Off! adalah salah
satu produksi ASWARA Dance Company yang menampilkan karya-karya kontemporari
oleh para koreografer generasi baru. Ia dipersembahkan pada 15 dan 16 Mac 2012
di Penang PAC dan 29 – 31 Mac 2012 di Panggung Eksperimen ASWARA. Menurut
pengarah artistik ASWARA Dance Company, Dr. Joseph Gonzales berharap produksi
seperti ini akan menggalakkan lagi usaha generasi muda untuk terus berusaha disamping
menjadikannya landasan untuk ‘berlepas’ ke peringkat seterusnya.
Tarian kontemporari
bukanlah satu genre yang mudah untuk diklasifikasikan bentuk mahupun kriteria
sebenarnya. Ini kerana maksud kontemporari iaitu ‘kini’ adalah sangat luas.
Namun, secara umum tarian kontemporari menjadi medium kepada para seniman untuk
melontarkan idea, hujahan, mesej, dan luahan dalam bentuk seni persembahan. Para
koreografer boleh melakar idea tadi dengan pelbagai cara supaya ia boleh
diketengahkan di atas pentas untuk menjadi tontonan ramai. Persembahan Take
Off! mempunyai karya yang dihasilkan dari motif tradisional sehingga ke genre teknik
tari kontemporari/moden barat, ada yang menjadikan props sebagai medium
persembahan, tidak ketinggalan penggunaan multimedia iaitu penggabungan antara
seni persembahan dengan teknologi. Antara karya-karya yang dipersembahkan
termasuklah Satu (Naim Syahrazad), Us (Azizi Mansor, Ng Xinying, Mohammad
Khairi Mokthar), Jin Zhu Long (Fione
Chia), Utopia (James Kan), Pailang (Fauzi Amirudin), Untold (Marrul Mawardi), Two (Fairul Zahid), A Day As (Sufi Asyraf), The
Lady (Hanafi Rosdi).
Karya Satu dipersembahkan oleh 3 penari lelaki
dan seorang penari perempuan. Apa yang menarik tenaga 3 penari lelaki bukan
mengenggelamkan penari perempuan malah mereka berempat kelihatan ‘satu’ semasa
bergerak lantas membuatkan karya satu
semakin menarik. Satu dipersembahkan
dengan garapan elemen teknik tari tradisional Melayu terutamanya dari gesture
tangan Silat, posisi kaki kekuda, dan beberapa buah Silat yang diolah semula
kepada bentuk tari di dalam sesetengah bahagian karya. Dengan gemersik merdunya
alunan muzik sebagai latar, karya ini kelihatan sebati sebagai salah satu usaha
koreografer generasi muda seperti Naim Syahrazad menaikkan martabat tradisi
tempatan menerusi seni persembahan sebagai medium penyampaian. Sebuah karya
kontemporari yang menggunakan kerusi sebagai props. Kelihatan 4 kerusi disusun
saling bertindih antara satu sama lain sebagai simbolik kepada isu atau mesej
yang ingin disampaikan oleh koroegrafer. Menurut beliau, karya ini mengetengahkan
isu tuhan yang satu agama Islam dalam bentuk tari yang abstrak, dan Naim
Syahrazad memang biasa dipanggail oleh kawan-kawan dan guru dengan gelaran
koreografer ‘abstrak’! Menurut Naim, walaupun beliau sedar sensitiviti isu
agama apabila ia diketengahkan sebagai hasil karya seni, namun itu bukanlah
penghalang bagi beliau. Tambahnya lagi, sesuatu karya tidak akan menyinggung
perasaan mana-mana pihak asalkan koreografer sedar akan batas-batas yang perlu
dipertimbangkan.
Hanafi
Rosdi, berasal dari Terengganu merupakan seorang koreografer muda yang gemar
menjadikan teknologi multimedia dalam mempersembahkan karya beliau. Menarik
kerana beliau sebagai koreografer lelaki mengetengahkan isu penindasan terhadap
wanita. Apabila melihat The Lady,
saya akan teringat isu Feminisme yang diperjuangkan para seniman, aktivis, dan
NGO sebagai lontaran suara memperjuangkan hak yang sama antara lelaki dan
perempuan terutamanya dalam ekonomi serta sosial. Selain itu, ia juga adalah satu
usaha yang patut diberi pujian kerana beliau menggabungkan multimedia dengan
seni tari dimana keduanya adalah dua bidang berasingan lantas mewujudkan sebuah
karya dwi-disiplin. Koreografer mempersembahkan pergelutan antara penari lelaki
dan penari perempuan melalui susunan pergerakan yang berbelit menunjukkan
intensiti serta ketegangan. Kelihatan penari-penari perempuan dimanipulasi
apabila beberapa kali diangkat oleh penari lelaki di bahu, tangan dipegang
kuat, dan beberapa kali penari perempuan cuba untuk melepaskan ‘kuasa’ penari
lelaki ke atas mereka. Selain mewakili kaum lelaki dalam masyarakat,
penari-penari lelaki dalam The Lady boleh
juga ditafsir sebagai simbolik kepada semua perkara yang menindas kaum wanita.
Pada saya, The Lady tidak mempunyai
kesimpulan yang merungkaikan kesemua persoalan yang diketengahkan koreografer,
tetapi ia hanya ingin menimbulkan persoalan dan menyedarkan para penonton
tentang realiti isu penindasan wanita yang wujud dimana-mana serata dunia pada
masa kini.
Bak kata
pepatah barat ‘simple but nice’, begitulah yang terlintas di fikiran apabila
menonton karya solo A Day As yang
dihasilkan dan dipersembahkan sendiri oleh Sufi Asyraf. Beliau berasal dari
Kuala Lumpur dan saya tidak pasti apakah yang menarik pada katak sehingga
menggerakkan hati beliau untuk menjadikan binatang dua alam itu sebagai
inspirasi menghasilkan karya. Menggunakan sifat Bola Gim yang melantun dan
elastik sebagai props menambah minat saya untuk terus menonton karya ini. Pada
permulaan karya, saya merasa tertanya-tanya apakah akan berlaku apabila melihat
sebuah bola biru yang besar terletak elok di ruang persembahan. Perlahan-lahan
muncul tangan Sufi Aysraf yang tersembunyi dibelakang bola tersebut dan beliau
memeluk bola itu dengan seluruh badan. Dengan bahagian hadapan badan dan tangan
melekat pada bola, beliau melompat-lompat dan berguling-guling. Rupa-rupanya Sufi menggunakan bola itu untuk
mewujudkan imej katak! Tiba-tiba Sufi melantunkan bola itu tinggi dan ia
bergoyang-goyang di udara berikutan isi kandungan di dalamnya, Sufi meniru
pergerakan bola itu dengan turut menggoyang-goyangkan kepalanya sebelum
menangkap semula bola tersebut. Boleh dikatakan koreografer melakukan
eksplorasi pergerakan hanya dengan melakukan improvisasi bersama bola berkenaan.
Tapi, saya tertanya-tanya apakah klimaks untuk karya ini? Setelah muzik
perlahan-lahan hilang dari pendengaran, kelihatan kelibat seorang perempuan
yang memakai kostum seolah-olah watak puteri raja. Perempuan itu masuk ke dalam
lampu spot dimana Sufi si katak masih bersama bolanya, perempuan itu
mencium pipi sufi dan lampu dipadamkan.
Kini saya faham, Sufi Asyraf adalah putera raja yang disumpah menjadi katak
dalam cerita dongeng The Princess and The
Frog. Bagi saya ketika pertama kali menonton karya ini, ia menarik kerana
koreografer melakukan integrasi antara sifat props dan pergerakan yang wujud
hanya sebagai refleksi kepada improvisasi yang dilakukan, koreografer tidak
menambah pergerakan-pergerakan yang tipikal seperti grandbattement, grand jette, ataupun pelvis roll yang biasa dilihat dalam banyak karya-karya
kontemporari secara umum.
Saya masih
ingat ketika menonton karya kontemporari dalam Panggung Eksperimen ASWARA pada
tahun 2005, tidak sampai 10 orang penonton yang duduk di kerusi panggung. Tidak
dinafikan relalitinya memang sangat sukar untuk menarik perhatian masyarakat
untuk menonton karya tari kontemporari berbanding tradisional di Malaysia,
namun dengan usaha-usaha seperti produksi Take Off! ini beserta kerahan
publisti yang padu mungkin boleh meningkatkan lagi penerimaan masyarakat
terhadap tari kontemporari. Tidak kenal maka tidak cinta, setiap genre seni persembahan
mempunyai keindahan dan kriterianya yang tersendiri. Maka, semua organisasi
kerajaan dan swasta patut bekerjasama untuk terus berusaha meningkatkan genre
tari kontemporari di Malaysia. Walaupun genre ini bermula di barat, tetapi para
seniman boleh mengintegrasikannya sebagai medium dan mengolah kreativiti dengan
elemen tempatan- Think Global, Do Local.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan