Isnin, 2 Februari 2015

Master of Arts, Contemporary Dance Performance, University Of Limerick




Master of Arts, Contemporary Dance Performance terletak didalam Irish World Academy dibawah jabatan Arts, Humanities, and Social Science, University of Limerick. Ia adalah program sepenuh masa setahun dan direka untuk memberi peluang kepada pelajar melakukan ‘studio based practice’ serta melakukan penyelidikan terhadap tarian kontemprari dalam aspek persembahan serta koreografi. Ia turut memberi peluang pelajar untuk meningkatkan kekuatan individu masing-masing sebagai ‘independence artist’. Sebagai refleksi kepada matlamat tersebut, program ini mengandungi subjek Ensembles dan Solo Choreography untuk semester pertama. Bagi subjek Ensembles, pengarah program akan berkomunikasi dengan 3 orang pensyarah jemputan untuk setiap semester. Pengarah program juga akan memilih pensyarah jemputan yang menghasilkan karya dwi-disiplin dan mempunyai kredibiliti yang sesuai dengan objektif silibus. Setiap pensyarah jemputan mempunyai masa selama 2 minggu untuk mengajar bengkel dan menghasilkan karya untuk dipersembahkan oleh para pelajar. Isi kandungan bengkel akan selari dengan proses pembelajaran karya bagi memudahkan pensyarah jemputan menyediakan para pelajar dalam masa 2 minggu. Sesi bengkel akan berlangsung dari 10 pagi hingga 1 petang, dan latihan untuk koreografi 2 hingga 5 petang setiap hari.
Selain itu, pelajar juga akan terlibat dengan beberapa projek atau subjek dwi-disiplin seperti Choreography for Camera, Site Spesific, dan banyak lagi. Sebagai tambahan, pelajar akan diperkenalkan kepada Practice Based Research bagi membantu meningkatkan kepekaan mereka terhadap keunikan serta potensi masing-masing dalam mempersembahkan hasil karya sendiri disamping meletakkannya di dalam konteks professional dan juga akademik. Practice Based Research ini turut dikenali sebagai Reflective Writing atau Personal Narrative Project. Practice Based Research adalah penyelidikan untuk mendapatkan pengetahuan baru daripada aktiviti praktikal performer berdasarkan persoalan yang diketengahkan dalam suatu penyelidikan. Dalam kata lain, ia merupakan bentuk kajian akademik yang menggabungkan elemen praktikal dalam metodologi dan bukan menjadikan suatu teori sebagai medium utama penyelidikan. Dalam kajian seperti ini, ia boleh mengetengahkan peranan performer sebagai subjek utama penyelidikan disamping mendokumentasikan pembelajaran, pengalaman, dan proses praktikal ke dalam bentuk kajian akademik.
Bagi meningkatkan teknik fizikal dan minda para pelajar, mereka mempunyai subjek ballet, yoga, dan teknik kontemporari berdasarkan teknik moden barat serta somatik. Selain itu, pelajar juga mempunyai subjek elektif dimana mereka boleh berkomunikasi dengan pengarah program mengenai subjek berkenaan. Subjek elektif dalam program ini bersifat fleksibel, relevan, dan mengikut keperluan pelajar masing-masing. Setelah pengarah program bersetuju, beliau akan berkomunikasi dengan pensyarah jemputan dari jabatan tertentu untuk menjadi tenaga pengajar bagi pelajar berkenaan sepanjang semester. Para pelajar wajib mendokumenkan proses pembelajaran dalam bentuk jurnal sebagai refleksi secara keseluruhan subjek elektif mereka.

Semester 1 Sesi 2013/2014
            Mohd Nur Faillul bin Adam (Faillul Adam) dan Murni binti Omar (Murni Omar) merupakan graduan Diploma Senitari dan Ijazah Sarjana Muda Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan yang kini sedang melanjutkan pengajian Pasc-Siswazah dalam M.A Contemporary Dance Performance, University of Limerick Ireland. Dalam semester pertama mereka mempunyai John Scott (Ireland), Helene Cathala (Perancis), dan Emily Johnson (Amerika Syarikat) sebagai pensyarah jemputan dalam subjek Ensembles. Selain itu, Dr. Mary Nunan akan mengendalikan subjek Solo Composition berdasarkan objektif dan sasaran yang akan saya jelaskan kemudian. Sebagai tambahan, Brigette Moody turut dijemput bagi mengendalikan solo komposisi dengan Labanotasi sebagai pendekatan praktikal bagi membantu pelajar lebih peka akan ruang dalam konteks yang lebih luas. Bagi semester ini, Mohd Nur Faillul bin Adam telah memilih tarian Hip Hop dalam konteks integrasi tarian Hip Hop dengan tarian tradisional Malaysia dalam bentuk kontemporari manakala Murni binti Omar pula memilih tarian tradisional Irish sebagai subjek elektif. Pada hujung semester, para pelajar untuk setiap program akan melakukan persembahan di dalam Theatre 2 di bangunan Irish World Academy yang dipanggil Lunch Time Concert. Persembahan ini biasanya berlangsung selama 30 hingga 45 minit. Tujuan persembahan ini adalah memberi orang luar sedikit gambaran tentang isi kandungan pembelajaran yang dilalui oleh para pelajar pada setiap semester.
            Dr. Mary Nunan memberi tugasan bertajuk ‘Eleven’ untuk subjek Solo Composition. Pelajar akan mengolah satu solo durasi 3 minit berdasarkan ‘eleven’ mengikut interpretasi, kefahaman, imaginasi, dan idea masing-masing. Tujuan beliau memberi arahan yang sangat umum adalah supaya pilihan dan tiitk tolak eksplorasi para pelajar tidak terhad, malah lebih fleksibel serta imaginatif. Sepanjang proses, para pelajar akan melalui proses pra-tonton dan maklumbalas bersama Dr. Mary Nunan berkenaan penambahbaikan untuk solo masing-masing. Brigette Moody juga memberi pendedahan Labanotasi dalam bentuk praktikal seperti planes, kinesphere dan general space, garisan vertical serta horizontal .Sebagai refleksi, pelajar akan mengaplikasikannnya supaya dapat meningkatkan lagi kepekaan dan kesedaran mereka terhadap aspek ruang untuk solo masing-masing.
            Ketiga-tiga pensyarah jemputan untuk subjek Ensembles mempunyai keistimewaan dan keunikan tersendiri. John Scott  berasal dari Dublin, Ireland dan pernah membuat persembahan bersama-sama dengan Meredith Monk, Sara Rudner, Yoshiko Chuma, Anna Sokolow. Karya beliau Body Duet, Actions, Fall & Recovery dan The White Piece banyak dipersembahkan di dalam serta luar Ireland seperti Perancis, Amerika Syarikat, Crotia, Mexico, serta Brazil. Karya John Scott mempunyai elemen ‘bermain’, pergerakan bertenaga tinggi, unsur teks, dan drama. Beliau mengajar kami karya Body Duet untuk semester ini. Asalnya, Body Duet adalah karya duet tetapi John Scott mengolahnya semula supaya ia boleh dipersembahkan oleh kami berlapan. Karya ini sangat memerlukan stamina, fokus, intensiti serta pembawaan penari sebagai performer untuk mempersembahkannya sesuai mengikut citarasa koreografer. Dalam proses bengkel, John Scott mengarahkan kami untuk merasai bunyi ruang sekeliling sebagai muzik. Dalam suasana senyap, kami hendaklah membayangkan bahawa muzik adalah wujud walaupun hakikatnya tiada sebarang muzik sedang dimainkan. John Scott juga seorang koreografer yang imaginatif. Semasa memberi penjelasan tentang suatu seksyen, beliau menggambarkan imej seorang perempuan yang memakai topi Hawai dan berpakaian serba mewah sedang berjalan dalam keadaan kelam kabut di lapangan terbang kerana hamper ketinggalan kapal terbang. Kami berdiri selari dan John berkata,’ bayangkan situasi walaupun perempuan berkenaan kelam kabut dan beg tangan serta topinya hampir jatuh, dia masih mampu mempertahankan gayanya. Sekarang, gunakan gambaran tersebut untuk lakukan improvisasi ‘Hawaian lady walking’ dalam satu garisan lurus. Ironinya, insiden ‘Hawaian walking lady’ itu adalah pengalaman John yang melihat kejadian sebenar beberapa tahun yang lepas!
            Selepas sesi Ensembles bersama John Scott tamat, kami berdebar-debar menunggu bagaimana dengan pensyarah jemputan kedua, adakah beliau kelakar seperti John Scott atau sebaliknya? Helene Cathala, mempunyai syarikatnya sendiri Horse Commerce dan beliau pernah menari secara profesional untuk Trisha Brown, yang mana merupakan antara nama legenda dalam sejarah tarian kontemporari/moden di barat. Pada tahun 2006, Helene Cathala menubuhkan syarikatnya sendiri Horse Commerce dan beliau menggunakan tarian sebagai medium untuk menimbulkan persoalan dalam dunia seni persembahan. Dalam tempoh itu, beliau menghasilkan beberapa karya seperti Slogans (2006), Shagga (2007), Exodus 1.25 (2009), Talking Blues (2010) dan et La Jeune Fille que la Rivière n’a pas gardée (2010). Helene Cathala menggunakan seksyen terakhir dalam karya Slogans dan memasukkan solo masing-masing untuk sesi pembelajaran koreografi bersama beliau. Menurut beliau, karya Slogans pada asalnya diolah berdasarkan inspirasi daripada sebuah puisi Perancis dan muziknya dihasilkan khas oleh pemuzik yang diupah. Apabila kami mempersembahkannya di Daghda Space Limerick City Centre, kami menerima banyak maklumbalas positif termasuklah mengatakan kelapan-lapan kami kelihatan sebati walaupun latarbelakang dan pengalaman kami berbeza. Isu kandungan bengkel Helene Cathala sangat padat dan bagus. Dari sudut pandangan saya daripada sesi bengkel dan proses pembentukan koreografi, Helene ingin kami melakukan pergerakan tanpa tergesa-gesa, memahami isipadu otot di setiap anggota badan sebagai medium pergerakan, sentiasa peka hubungan antara fizikal dengan ruang sekeliling, dan memahami teknik ‘release’ dan mengaplikasikannya dalam pergerakan. Menurut Helene, orang seringkali salah faham apabila melakukan pergerakan dengan teknik ‘release’ adalah bergerak sesuka hati sehingga membuatkannya kelihatan longlai dan ‘mati’! Tetapi sebaliknya, teknik ‘release’ adalah melakukan pergerakan dengan penggunaan peratus otot paling minimum beserta fokus, kepekaan, dan intensiti yang sepatutnya, bukannya bergerak sesuka hati! Selain itu, teknik ‘release’ juga boleh diaplikasikan dalam kelas ballet untuk melegakan otot atau sendi yang terlalu tegang justeru boleh mengelakkan kecederaan fizikal untuk jangka masa yang panjang.
            Pensyarah jemputan seterusnya Emily Johnson bersama pengarah muzik syarikatnya John Everest datang dari Alaska, Amerika Syarikat. Dr. Mary Nunan memaklumkan kepada kami email dari Emily Johnson yang mengatakan, ‘tarian boleh terjadi dengan hanya melihat dengan penuh fokus kepada alam sekeliling, merasai kejadian alam dan refleksi kepada manusia’. Sebaik sahaja Emily Johnson menamatkan Ijazah Sarjana Muda tari dari Univeristy of Minnesota, beliau menubuhkan syarikatnya sendiri Catalyst. Dari situ beliau menghasilkan 22 karya termasuklah Shore, The Thank-You Bar, dan Niicugni. Sebagai koreografer, Emily meletakkan karyanya sebagai ‘installation performance’ dimana beliau ingin penonton bukan saja menonton persembahan, tetapi merasainya sendiri. Sepanjang proses bengkel, Emily banyak melakukan diskusi mengenai interpretasi masing-masing mengenai apa itu tari. Beliau mengeluarkan 3 soalan: 1) Bagaimana dan mengapa anda memilih tari, 2) Pada pendapat anda apakah definisi tari, 3) Berikan maksud tarian kontemporari mengikut interpretasi masing-masing. Bagi Emily, sesi diskusi penting supaya kami lebih peka dan sentiasa mengaktifkan otak supaya sentiasa berfikir, itu juga adalah salah satu kaedah untuk menjadi performer yang lebih baik. Sebagai pensyarah jemputan terakhir yang menutup ‘buku’ semester ini, Emily Johnson dan John Everest menghasilkan satu lagu baru untuk koreografi yang akan dipersembahkan nanti. John menyusun senikata lagu berdasarkan tema perjalanan dalam mencapai sesuatu dalam kehidupan. Kami akan menyanyi sambil menari dalam sesetengah seksyen koreografi ini. Berikut merupakan lirik lagu tersebut:



            Breath & Cast
            From far away this air had called
            And so I came to breath and cast
            Into the sea to find a place
            To land
            Gather we had gather
            And for now we here
             
            Ini pertama kali kami mempelajari subjek Choreography For Camera. Pada awalnya kami berasa runsing kerana kerana subjek ini memerlukan kami peka dan fasih menggunakan perisian komputer Final Cut Pro apabila melakukan suntingan terhadap rakaman yang diambil. Pensyarah jemputan kami Mary Wycherly merupakan seorang seniman tari Ireland yang cenderung menghasilkan karya menggunakan pendekatan Screendance. Karya beliau banyak ditayangkan dalam festival tari serta filem dalam dan luar negara. Dari situ beliau menerima 2011/12 European Modul-Dance carte-blanche programme serta peruntukan Arts Council Project untuk projek The Dance of Making. Beliau juga melakukan kolaborasi dengan penari: Dr. Mary Nunan, Yoshiko Chuma, Maria Kerin, David Stallina, Anthony Kelly, komposer: Jürgen Simpson, Steve McCourt, dan fotografer Maurice Gunning. Mary Wycherly adalah graduan M.A Contemporary Dance Performance University of Limerick dan mula mengajar disitu sejak tahun 2007 hingga kini. Beliau mengendalikan silibus Choreography for Camera yang relevan dan boleh dipraktikkan oleh pelbagai bidang kerana beliau mengajar subjek berkenaan kepada pelajar-pelajar Community Music, Ethnocoreology, Irish Traditional Dance, dan Contemporary Dance Performance. Dalam 2 minggu pertama pembelajaran, kami didedahkan dengan sejarah dan perhubungan Screendance dalam konteks tarian kontemporari di barat. Beliau juga menunjukkan beberapa contoh video supaya kami mendapat gambaran tentang apa itu Screendance. Menurut Mary, koreografer boleh mewujudkan dimensi yang berbeza dengan merakam suatu pergerakan dari pelbagai sudut. Koreografer juga boleh bermain dengan beberapa jenis rakaman seperti extreme wide shot, very wide shot, wide shot, middle shot, medium close up, close up, extreme close up, cut in, cut away, two-shot, over the shoulder shot, noody shot, point of view, dan weather shot. Dengan variasi jenis rakaman ini, suatu artikulasi pergerakan boleh dilihat dengan lebih jelas dan terperinci.
            Dalam semester ini, Faillul Adam melakukan integrasi antara pergerakan tarian Hip Hop dengan tarian Ngajat Iban. Pada peringkat ini, Faillul Adam hanya melakukan komposisi pada tahap asas, namun pensyarah jemputan yang mengendalikan subjek elektif menggalakkan beliau terus mengembangkan koreografi tersebut kerana ia berpotensi menjadi sebuah karya yang lebih lengkap. Bagi mendapatkan material yang cukup untuk proses penghasilan koreografi tersebut, Faillul Adam telah menjalani 10 sesi kelas tarian Hip Hop dibawah Michael Courtney atau dikenali sebagai Ras Mikey. Selain mempunyai latarbelakang sebagai penari Hip Hop, Ras Mikey mendapatkan latihan intensifnya dalam teknik tari ballet dan kontemporari di The University of the Arts, Philadelphia Amerika Syarikat sebelum bekerja secara profesional selama 10 tahun dengan Pilobolous Dance Theatre di Connecticut, Amerika Syarikat. Sementara itu, Murni Omar pula mengambil tarian tradisional Irish sebagai subjek elektif dibawah Michael Patrick Gallagher. Kini, Michael melanjutkan pengajian peringkat Padca-Siswazah dalam Ethnocoreology di University of Limerick dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam perundangan. Sebelum ini, Michael juga pernah menari sebagai penari prinsipal dalam Riverdance sebelum membuat keputusan untuk menceburi bidang akademik. Pada awal sesi pembelajaran, Murni Omar mengalami halangan yang sangat mencabar kerana tidak pernah mempelajar tarian tradisional Irish sebelum ini. Murni Omar akan mempelajari 2 repertoire tradisional iaitu St. Patrick dan Blackbird dengan hardshoes. Genre tarian ini memerlukan pelajar sangat peka dengan muzik dan mengandungi variasi rhythm serta tempo yang sangat laju. Semasa peperiksaan akhir Murni Omar, Dr. Orfhlaith Ni Bhriain yang merupakan pengarah program Irish Traditional Dance University of Limerick berasa kagum kerana Murni Omar berjaya menarikan 2 repertoire tradisional ini dengan baik tanpa sebarang kesalahan. Tambahan pula, disebabkan masalah tertentu, Murni Omar cuma mempunyai masa selama 10 hari berlatih dengan hardshoe! Bunyi yang dikeluarkan semasa menarikan tarian tradisional Irish dengan hardshoe adalah lebih sensitif dan cenderung mengeluarkan bunyi yang tidak selari dengan muzik lantas memerlukan tumpuan sepenuhnya.
           


Tiada ulasan:

Catat Ulasan