Persembahan Malaysian Night dianjurkan oleh International
Division of University of Limerick dan dikendalikan oleh tiga pelajar Malaysia
Lau Bei Chin, Faillul Adam, dan Murni Omar. Lau Bei Chin merupakan graduan M.A
Contemporary Dance Performance 2012 di Irish World Academy University of
Limerick manakala Faillul Adam dan Murni Omar baru sahaja melanjutkan pengajian
semester pertama mereka dalam jurusan yang sama pada bulan September 2012.
Selain itu, Faillul Adam dan Murni Omar juga merupakan graduan Diploma serta
Ijazah Sarjana Muda Fakulti Tari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan
(ASWARA). Dengan kesempatan ini, mereka bertiga mengadakan persembahan
Malaysian Night dengan kemudahan ruang latihan, panggung untuk persembahan, dan
bahan publisiti yang disediakan International Division of University of
Limerick. Terima kasih juga kepada Encik Mohd. Taufik Hj. Ahmad dan isteri Puan
Hidayati Hj. Sahat yang bantu menghubungi Malaysian Embassy di Dublin untuk
turut serta menghadiri persembahan tersebut serta menyediakan cenderamata untuk
para penonton yang hadir. Antara repertoire yang terdapat dalam persembahan
termasuklah tarian tradisional Melayu: Endang, Inang Renek, Zapin Suara Siam,
tarian tradisional Cina Kipas dan Avalokiteshava Bodhistthava, diikuti dengan
tarian klasik India Bharatanatyam Pushpanjali,
diakhiri dengan tarian kontemporari Tapak
4 hasil karya Shafirul Azmi Suhaimi. Selain itu, sebagai pembuka tirai
persembahan, Murni Omar mempersembahkan nyanyian lagu tradisional Zapin Pekan. Apa yang menarik dalam
persembahan ini ialah penari-penari Malaysian Night terdiri daripada pelajar
dan graduan dalam University of Limerick yang berasal dari Brazil, Mexico,
Rusia, dan Amerika Syarikat!
Tarian Endang berasal dari Negeri Sembilan dan dibawa
masuk oleh masyarakat Indonesia yang bermastautin di negeri tersebut.
Pergerakannya diolah semula daripada aktiviti menuai padi, mengandungi gestur
Rumah Gadang, gerak seni mempertahankan diri Melayu Silat, gerak Lambung Angin,
dan lain-lain. Biasanya semua penari akan duduk sebaris dan majoriti pergerakan
hanya pada tangan saja. Namun, koreografer boleh mengolah semula dengan
meletakkan penari dalam kedudukan berdiri serta menambah pergerakan kaki supaya
ia lebih bervariasi. Dalam persembahan Malaysian Night, 4 orang kanak-kanak
dari keluarga Malaysia yang menetap di Limerick Ireland menari bersama-sama
kami. Pada hari pertama latihan, seorang dari mereka merajuk kerana tidak dapat
menghafal pergerakan. Tetapi, kami menjelaskan kepada ibu bapa kepada
kanak-kanak tersebut bahawa kami bukan ingin anak mereka melakukan pergerakan
yang sempurna, cukup sekadar mereka menari dengan gembira dan itulah konsep
tari rakyat, untuk bergembira dan meraikan sesuatu. Terima kasih kepada ibu bapa yang memberi
kepercayaan kepada kami dan membenarkan anak-anak mereka turut sama mewarnai
persembahan Malaysian Night.
Antara tarian yang menggegarkan panggung pada malam ini
ialah Zapin Suara Siam. Tarian rakyat
zapin yang berasal dari Sabah ini diiringi oleh lagu rancak dan melodi yang
mengasyikkan. Pada awal latihan, saya agak risau bagaimana untuk melatih para
penari untuk Zapin Suara Siam. Christian Tan adalah pelajar Sains dan
Kejuruteraan berbangsa Cina Pulau Pinang yang membesar di Ireland dan hanya
menyertai kelab teater muzikal, Nora Rodriguez penari kontemporari dari Mexico,
Lau Bei Chin penari tarian tradisional Cina yang tidak pernah menarikan tarian
tradisonal Melayu, dan walaupun Olga Tikhomirova serta Alexandra Glazovskaya
dari Rusia adalah penari tradisional, tetapi tarian tradisional Irish mempunyai
estetika yang berbeza dari tarian Melayu Zapin! Akhirnya, syukur ke hadrat
Ilahi walaupun gerak mereka tidaklah sempurna seperti penari tradisional Melayu
dari Malaysia, melihat kegembiraan dan kesungguhan untuk turut sama merasai
keindahan tarian tradisional Malaysia sudah cukup melengkapkan persembahan
Malaysian Night. Menurut Alexandra Glazovskaya, ini adalah pengalaman pertama
beliau menarikan tarian rakyat dengan perasaan yang sangat gembira, bebas, dan
gila-gila!
Tarian kreasi baru Inang Renek ditarikan oleh penari
perempuan sahaja. Apabila kedengaran lagu Inang Renek, kelihatan 6 penari
perempuan berlenggang memasuki ruang persembahan. Dengan senyuman manis terukir
di bibir mereka, tarian Inang Renek bertambah meriah dengan gerak lemah gemalai
oleh penari dari Brazil, Mexico, Amerika Syarikat, dan Rusia. Semasa latihan,
Krystin Fontanella dari Amerika Syarikat menghadapi kesukaran untuk bangun dari
duduk bertimpuh ke bertinggung dan akhirnya berdiri, begitu juga sebaliknya
dari berdiri sehingga duduk bertimpuh. Selain Krystin, mereka yang lain turut
merasa sakit di bahagian kaki dan lutut. Saya menjelaskan bahawa hal itu
terjadi mungkin kerana mereka tidak biasa dengan tarian yang banyak menggunakan
aras paling rendah atau kedudukan bertimpuh, bertinggung, dan sebagainya.
Selain itu, Thalitha Reis juga bertanya apakah ekspresi yang perlu kami
sampaikan semasa mempersembahkannya? Bagi merungkaikan persoalan beliau, saya
jelaskan tentang estetika tarian tradisional Melayu yang sesuai dengan tarian
Inang Renek dimana memerlukan penari perempuan mempersembahkan sifat-sifat
perempuan Melayu konvensional yang sopan santun, lemah lembut, dan pergerakan
terkawal.
Sebagai kemuncak persembahan Malaysian Night pada malam
ini, kami mempersembahkan tarian kontemporari Tapak 4. Karya yang diolah daripada pergerakan Silat ini mengandungi
pergerakan yang tangkas, kuat, dan laju diadun dengan beberapa bahagian duet,
trio, solo, dan berkumpulan. Namun, oleh kerana kekurangan waktu untuk latihan
dan tidak mempunyai penari yang cukup untuk persembahan, kami terpaksa mengolah
beberapa bahagian supaya ia sesuai dengan durasi serta kemampuan penari. Tapak 4 dipersembahkan oleh Faillul
Adam, Murni Omar, Lau Bei Chin, dan Nora Rodriguez. Setelah tamat persembahan,
kami mendapat banyak maklumbalas yang positif. Yvonne Crosse dari International
Division University of Limerick berkata ini merupakan persembahan antarabangsa
yang paling berjaya dari aspek isi persembahan dan bilangan penonton yang datang.
Selain itu, Dr. Mary Nunan yang mana juga merupakan Course Director of M.A
Contemporary Dance Performance berkata ini adalah kali pertama beliau menonton
tarian tradisional Malaysia, dan beliau sangat terharu apabila melihat kami
melatih dan mengajak masuk pelajar-pelajar dari pelbagai bangsa dalam Malaysian
Night. Selain membuat persembahan, projek seumpama ini juga merupakan salah
satu cara untuk mempromosikan negara apabila terdapat penari pelbagai bangsa
yang didedahkan dengan budaya tradisi Malaysia bukan saja dengan mempelajari
sesuatu tarian, tetapi dengan mengetahui sejarah, asal-usul, dan merasai
sendiri keindahan tarian tradisional negara kita. Sebagai salah seorang ahli
pengurusan persembahan, saya berterima kasih atas sokongan semua pihak dan
berharap dapat membuat persembahan dan mungkin bengkel tari tradisional
Malaysia di hari akan datang bagi meneruskan usaha mempromosi negara dengan lebih
giat lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan